Rokok Dan Islam
Agama Islam mampu memenuhi segala keperluan bagi setiap masalah yang berbangkit dalam kehidupan seharian umatnya, sehingga tidak satu perkara pun terlepas daripada sorotan Islam yang memberikan kaedah atau aturan cara melaksanakannya, supaya tidak membawa mudarat terhadap manusia itu sendiri. Dengan demikian, terjaminlah tindak-tanduk umat ini daripada terjerumus ke lembah dosa dan kerosakan akal, jasmani dan harta benda. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang tidak dijelaskan hukumnya secara tegas, maksudnya tidak ditemui nas yang khusus membicarakannya. Hadith Rasullullah s.a.w. :"Halal itu jelas, haram itu pun jelas, dan antara keduanya ada beberapa perkara yang syubhat (samar) yang banyak dari manusia tidak mengetahuinya. Maka barangsiapa memelihara dirinya dari segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran jatuhlah ia ke dalam haram,"(H.R. Muslim)
Tabiat menggunakan tembakau dalam bentuk merokok boleh dijadikan sebagai satu contoh perkara samar di mana tidak ditemui nas yang khas menetapkan hukumnya. Pada umumnya orang menganggap hukum merokok hanya markuh, sama dengan memakan makanan yang baunya tidak sedap seperti memakan bawang, jering dan sebagainya. Hadith Rasullullah s.a.w. : "Barang siapa makan bawang putih atau bawang merah maka janganlah mendekati masjid-masjid kita, kerana malaikat terganggu,"
Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh termasuk ke dunia Islam oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di kalangan masyarakat beratus tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan.
Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpengaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka. Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terperdaya dengan budaya asing, terutamanya yang dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.
No comments:
Post a Comment